• +6012-6268490
  • hey@thegblog.org

Tag Archives: Writer: Dayangku Zyana

Aku dan Cermin Itu

thegblogteam No Comments

Sewaktu kecil, tidak pernah aku ketahui, tentang apa itu perempuan, apa itu lelaki, dan juga apa itu gender. Aku bermain sepuas-puasnya bersama kawan-kawan dan alat permainan yang ada di sekelilingku. Aku makan semua makanan kesukaanku sama  ada yang dimasak ibu mahupun yang dibeli dari mana-mana kedai atau restoran dengan penuh nikmat. Aku ketawa terbahak-bahak dengan penuh girang apabila melihat atau mendengar sesuatu yang menggeletek hatiku. Aku juga menangis dan memberontak sepuasnya terhadap perkara yang menghalang kemahuanku. Seingat aku, aku hanyalah seorang kanak-kanak biasa. Sama seperti kanak-kanak lain.

Disebalik semua itu, aku selalu terdengar pesanan dan kata-kata nasihat dari orang sekeliling. Sehingga sekarang, kata-kata yang terngiang-ngiang di telingaku.

“Awak lelaki, awak kena tolong ayah”.

 “Awak lelaki, awak tak boleh buat macam tu”.

“Awak lelaki, awak tak boleh berkelakuan macam tu.”

Dan pelbagai pesanan dan kata-kata lain yang seangkatan dengannya. Kadang-kadang aku terfikir, adakah nasihat ini diberikan kepada semua kanak-kanak yang sedang membesar, atau hanya kepadaku? Aku tidak pernah dengar kata-kata seperti itu diungkapkan kepada kanak-kanak lain. Kenapa hanya aku? Kenapa semua orang di sekelilingku sangat obses dengan tingkah laku, cara pertuturan dan gayaku?

Saban masa berlalu, semakin aku menempuhi liku-liku kehidupan dengan penuh rasa keliru dan tanda tanya. Aku mula pergi ke sekolah, tempat untuk aku belajar dan bersiap sedia untuk menjadi insan berguna apabila aku dewasa kelak. Tempat untuk aku membuat ramai teman baru dan menempuhi pelbagai pengalaman sebagai seorang pelajar. Namun, pengalamanku di sekolah juga sama seperti di rumah.

Aku semakin keliru dengan teguran dan pesanan orang sekeliling tentang jantina, tentang perwatakan dan tentang tingkah laku. Jika dulu aku hanya mendengar teguran seperti itu di rumah dari ibu, ayah, makcik dan pakcik; kini kata-kata yang sama juga diungkapkan oleh guru-guru dan teman sekelas. Bagaimana semua orang seperti tahu sahaja cara yang betul untuk bertingkah laku dan bertutur kecuali aku? Buku apa yang semua orang baca yang aku langkaui? Di mana mereka tahu semua ini?

Sampai di suatu tahap, aku mula merasa tekanan sedikit demi sedikit. Segala apa yang aku dengari, setiap saat dalam kehidupanku, memberitahu hati kecil aku bahawa ada sesuatu yang tidak kena degan aku. Sesuatu yang salah dan lain daripada yang lain. Segala apa yang aku lakukan hanyalah mengundang perasaan hairan dari orang sekeliling. Dan aku? Aku juga berasa hairan mengapa hanya aku yang asyik ditegur sebegitu.

Aku kemudiannya menjadi amat cenderung dan nekad untuk mencari kebenaran tentang segala apa yang aku dengar selama ini. Apakah terdapat kebenaran dalam nasihat dan pesanan dari orang sekelilingku?

Aku membawa diriku yang penuh dengan rasa keliru, ke hadapan sebuah cermin. Cermin yang gah dan besar, yang boleh memberi pantulan tepat supaya sesiapa sahaja yang memandang ke dalam cermin itu, akan dapat melihat refleksi diri mereka yang sebenar. Cantik kah? Betul kah? Senget kah? Salah kah? Mana dia bayangan aku? Mari sini aku lihat, mana yang perlu aku betulkan.

Pelik, lama aku pandang ke dalam cermin itu. Aku pusing ke kiri dan ke kanan. Atas, bawah, atas, bawah. Tidak ada apa pun yang aku rasakan salah. Walau sudah beribu kali aku berhadapan dengan cermin itu, tiada apa yang membuat aku rasakan seperti… di luar tempat yang sepatutnya. Apa yang sering orang bicarakan, sambil menunding jari mereka kepadaku, seolah-olah menunjukkan sesuatu yang tidak kena pada mata mereka, apa yang mereka nampak? Bayanganku di dalam cermin itu tidak pernah memberi kejutan besar. Aku mula bertanya pada bayangan diriku di sebalik cermin itu.

“Kenapa mereka suruh aku jadi keras?”

“Mengapa mereka selalu cakap aku lembut?”

“Apakah itu lembut? Apakah itu keras?

“Mana yang yang mereka nampak lembut?”

Setahu aku, aku cuma melakukan rutin harianku seperti biasa sejak kecil. Di saat itu, secara tiba-tiba berdesing di dalam fikiranku tentang apakah itu maksud sebenar gender, lelaki dan perempuan.

Aku yang selama ini diberitahu oleh semua orang bahawa “sepatutnya” menjadi dan berlagak seperti seorang lelaki, menyedari bahawa aku bukanlah lelaki. Lelaki tidak ada di dalam diriku. Segala teguran yang aku dengar dan serap dari orang sekelilingku selama ini, membuat aku berbisik kepada diriku. Perlahan, tetapi tegas.

“Bukannya salah aku! Aku cuma buat semua benda macam biasa! Aku tidak cuba tiru sesiapa! Aku tak sedar pun aku seperti yang orang katakan!”

Aku mula melihat bahawa bayangan di sebalik cermin itu adalah bukan bayangan sebenar diriku, tetapi sebaliknya bayangan yang telah ditetapkan bentuk dan sifatnya oleh orang sekeliling.

Saban tahun berlalu, aku semakin kenal tentang gender dan identitiku yang sebenar. Aku semakin menerima diriku, dihadapan setiap cermin. Dengan bayangan yang terpantul pada setiap cermin dihadapanku kini, aku berasa semakin selesa dan semakin kena dengan watak yang aku dituduh dibuat-buat selama ini. Tidak perlu lagi bersembunyi. Tidak lagi memenuhi kemahuan masyarakat yang tiada tahap puasnya. Peritnya untuk aku tempuhi saban tahun tersebut, sehingga menjadikan diriku seperti pada hari ini, dengan tahap keyakinan dan keberanian yang di luar jangkaan aku sendiri. Namun, sudah tentunya bosan sesebuah kehidupan itu tanpa sebarang dugaan dan cabaran. Dan ini adalah cabaran aku.

1

Get in Touch!

We're fun to talk to. We promise!