• +6012-6268490
  • hey@thegblog.org

Delusi “Choice Feminists”

Delusi “Choice Feminists”

thegblogteam No Comment

“Feminisme adalah mengenai memberi wanita kebebasan untuk memilih. Ia bukanlah satu peralatan untuk menjatuhkan wanita lain. Ia mengenai kemerdekaan, kebebasan dan kesaksamaan,” kata Emma Watson kepada wanita-wanita disambut dengan sorakan gemuruh di seluruh dunia. Jika terdapat contoh feminis abad ke-21, Watson merupakan wirawatinya dan kata-katanya merupakan motivasi kepada para feminis.

Choice feminism (salah satu cabang dalam feminisme yang mengutamakan kebebasan wanita untuk memilih) begitu dipuja dalam budaya kini sehinggakan apabila terdapat wanita yang mengkritik sebarang industri, institusi, dan konstruk sosial sebagai berunsurkan partriarki, wanita-wanita ini akan dituduh menyerang wanita lain yang memilih untuk menyertainya. Tidak kira apa pilihan mereka, bahagian komen akan sentiasa mengaitkan hak peribadi dia untuk memilih. Mengatakan perkara sebaliknya dianggap sebagai menghentam kebebasan peribadi dan pilihan dia sebagai anti-feminis. Tuntutan mereka mengenai wanita berhak memilih itu betul, tetapi adakah semua pilihan merupakan pilihan yang baik untuk kebebasan kolektif semua wanita?

Kesilapan rangka tindakan feminis ini adalah ia menganggap kita hidup di era selepas patriarki di mana setiap pilihan yang dibuat oleh wanita merupakan pilihan yang dibuat secara bebas tanpa pengaruh patriarki yang melemaskan. Ia menganggap bahawa pilihan kebebasan yang dibuat wanita dalam demokrasi dunia pertama tidak mempengaruhi dalam menguatkan lagi institusi-institusi patriarki untuk menghalang kebebasan untuk memilih wanita dalam negara-negara dunia ketiga. Paling penting, ia menganggap bahawa sesetengah pilihan dibuat tanpa mengorbankan kebebasan kolektif semua wanita.

Tonggak utama kepercayaan choice feminism adalah setiap pilihan yang dibuat untuk keinginan sendiri adalah gerakan feminis. Cerita di belakang tabirnya adalah mulia: pilihan wanita dibuat ketika mereka dipengaruhi patriarki masa lampau yang lebih teruk, jadi keupayaan untuk memilih merupakan suatu bentuk kebebasan. Kelemahannya adalah apabila pilihan-pilihan yang menghambakan wanita kini diberi nafas baru kononnya sebagai pilihan peribadi yang membebaskan; dengan mengenepikan hakikat bahawa patriarki, budaya popular, peruncitan korporat dan media massa semuanya beriya-iya menyalahgunakan pilihan wanita untuk keuntungan mereka sendiri.

Pornografi dan pelacuran telah dijenamakan semula sebagai kebebasan seksual. Pembedahan kosmetik dan solekan telah dijenamakan semula sebagai keinginan peribadi. Sexual objectification (layanan terhadap seseorang hanya sebagai alat untuk kepuasan seksual) telah dijenamakan semula sebagai pemerkasaan peribadi. Malah perkahwinan, dan tindakan mengambil nama suami, kini sedang dibina semula sebagai pilihan feminis. Semua ini berlaku namun wanita masih menjadi mangsa diskriminasi sistematik pada dasar yang sama yang digunakan untuk pemerkasaan.

Wanita masih terpaksa menghadapi tahap keganasan seksual yang tinggi dan berjuta-juta wanita di seluruh dunia masih tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang logik seperti rogol dalam perkahwinan. Aktivis masih berjuang di seluruh dunia untuk hak wanita dan gadis untuk tidak dicacatkan (mutilation) dan diekspoitasi. Pornografi dan pemerdagangan wanita dan kanak-kanak perempuan berkembang pesat terutamanya dalam eksploitasi seksual. Menyokong pilihan yang mengukuhkan institusi-institusi ini bermaksud untuk  mengabaikan jumlah tinggi wanita di seluruh dunia yang masih menjadi mangsa kepada penindasan dan ketidaksamaan hak.

Kita juga harus mengakui bahawa pilihan tidak muncul dari udara, tetapi dibentuk oleh norma masyarakat yang mengelilingi mereka.

Kami tidak tahu sama ada pilihan peribadi ini dibuat kerana patriarki ataupun tidak. Dalam banyak kes, budaya kini membina pemikiran di mana wanita mendapat keinginan, kepuasan dan kebahagiaan dengan memenuhi peranan yang lelaki inginkan. Walaupun pilihan ini tidaklah dipaksa, kepercayaan bahawa wanita sedang menjalankan hak mereka hanyalah sebuah ilusi, jika dia tidak bertanya pada diri sendiri tentang sebab mengapa pilihan yang “membebaskan” ini dibuat. Walaupun dia memakai solekan untuk keinginannya sendiri, adakah dia sedar bahawa keinginannya dibentuk oleh taraf kecantikan yang menindas yang dicipta oleh lelaki? Misogini boleh disebatikan dalam diri dan pilihan wanita boleh disebabkan oleh hasil pengaruh patriarki terhadap wanita tanpa disedari mereka. Memandangkan tiada cara untuk mengetahui perkara ini, choice feminism menjadi cara mudah bagi institusi-institusi ini untuk menunjukkan kononnya semua wanita sedar akan hak mereka untuk memilih dan membebaskan diri mereka daripada tekanan sosial ini.

Namun, walaupun choice feminism menyatakan bahawa pilihan wanita dalam masyarakat liberal bebas daripada patriarki, feminisme jenama mereka juga telah menerima banyak perhatian dalam budaya kini sehingga memasuki masyarakat di mana kaum wanita sememangnya masih lagi dibelenggu oleh budaya patriarki ini. Video “My Choice” yang dilancarkan oleh Vogue India telah menjadi popular dengan ikon popular, Deepika Padukone menggambarkan pemerkasaan wanita melalui beberapa pilihan. Ini sangat ironik kerana video itu dilancarkan oleh industri yang menyokong taraf kecantikan yang seksis; dan membingungkan, kerana India mempunyai budaya keganasan seksual dan epidemik rogol yang tidak terkawal. Sesetengah pilihan itu bukan setakat mengukuhkan lagi penindasan wanita dalam masyarakat yang konservatif, tetapi wanita yang terperangkap dalam persekitaran ini sering tidak diberikan kebebasan untuk memilih.

Kita tidak patut menyokong kerangka feminis yang mempersoalkan pilihan yang mengukuhkan lagi penindasan wanita dan dikecualikan daripada kritikan. Kritikan ini bukan serangan peribadi terhadap sifat wanita ini, tetapi langkah untuk memeriksa pandangan dunia feminis mereka.

Realiti yang tidak dapat dielakkan adalah semua wanita melalui liku-liku kehidupan yang berbeza dan ini membataskan kita daripada menjadi adil kepada wanita lain yang tidak melalui pengalaman yang sama. Pergerakan feminis kita mempunyai keluk pembelajaran di mana ramai wanita berjuang untuk didengari dan dimasukkan ke dalam naratif feminis. Choice feminists mempunyai alasan untuk berhati-hati terhadap keluk pembelajaran ini: para feminis perlu diwajibkan untuk mengkritik satu sama lain kerana membuat pilihan yang secara tidak sengaja tidak feminis.

Tetapi ini bukanlah petanda kemerosotan solidariti feminis. Ini adalah pergerakan yang diperlukan dalam merumuskan versi solidariti yang dapat meningkatkan kedudukan wanita. Walaupun feminis mungkin berbeza dalam pendekatan terhadap feminisme, tiada yang menafikan bahawa kita berkongsi matlamat yang sama dalam mencapai kesetaraan sosial, politik dan ekonomi. Satu-satunya cara untuk mencapai kesetaraan yang tulen adalah dengan mengatasi pelbagai penindasan patriarki yang dialami oleh wanita yang berlainan latar belakang. Sebagai sebuah pergerakan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengenepikan seorang wanita sebagai tidak feminis, namun kita boleh membahaskan pilihan mana satu yang akan membantu perjuangan ke arah kesetaraan kita.

Kritikan ini bukan hanya sebahagian daripada proses pembelajaran, jika dilakukan kepada tokoh-tokoh yang dihormati ramai seperti Emma Watson, akan memberi kesan kepada seluruh masyarakat. Dalam pergaduhan antara Nicki Minaj dan Taylor Swift di Twitter, Minaj telah mengkritik MTV Video Music Awards kerana terdapat unsur-unsur kecenderungan budaya yang memihak kepada taraf kecantikan dan seksual yang dipamerkan supermodel. Dalam apa yang dikatakan sebagai serangan terhadap pencalonannya, Swift yang mengakui dirinya sebagai seorang feminis, menulis: “Saya tidak pernah melakukan apa-apa selain daripada menyokong kamu. Ia tidak seperti kamu untuk melagakan wanita sesama wanita. Mungkin slot kamu telah diambil oleh seorang lelaki…” Ketika Swift menawarkan pengalaman dia sebagai seorang artis berkulit putih, dia mengabaikan pengalaman Minaj yang melalui diskriminasi atas sebab taraf kecantikan dan seksual yang seksis sebagai wanita berkulit hitam.

Apa yang berlaku seterusnya ialah Swift telah diajar semula untuk memahami apa makna menjadi seorang intersectional feminist. Dia kemudian memohon maaf dan menulis: “Saya terlepas pandang dan salah faham, kemudian salah memberi pandangan.” Pembetulan pandangan dunia feminis Swift adalah disebabkan oleh kritikan dan laungan ketidakpuasan hati daripada para feminis dan penyekolahan semula Swift menjadi satu titik pembelajaran bagi ramai perempuan yang telah terlepas pandang penindasan wanita dalam golongan minoriti. Malah ikon feminis yang terkenal tidak terlepas daripada keluk pembelajaran ini. Gloria Steinem membayangkan bahawa penyokong Bernie Sanders yang terdiri daripada wanita muda hanyalah di sana untuk mengikuti lelaki dan Chimamanda Ngozi Adichie memberitahu bahawa perempuan trans bukanlah perempuan. Ianya merupakan reaksi daripada feminis yang membuatkan kedua-dua ikon ini untuk mendalami semula pandangan mereka dan meminta maaf secara terbuka atas keterlanjuran mereka.

Satu-satunya cara untuk kita memastikan tokoh awam dan feminis untuk menyedari  kembali keistimewaan mereka, atau untuk menyedari kesan daripada pilihan mereka terhadap wanita lain adalah dengan mengkritik pilihan mereka. Kita tidak boleh lagi memastikan perkara ini apabila ‘pilihan’ digunakan secara terang-terangan sebagai pertahanan untuk menamatkan perbualan. “Itu adalah pilihan dia,” “Dia tidak dipaksa oleh sesiapa, dia yang memilih untuk melakukannya demi keinginan diri sendiri,” atau “Dia bukan seorang mangsa, pilihan dia telah meningkatkan kedudukan dia” kini menjadi taraf unggul dalam menentukan nilai pilihan feminis.

Pilihan itu mungkin boleh memberi manfaat kepada individu tersebut, namun ia juga berkemungkinan untuk tidak  bermanfaat kepada kebebasan kolektif wanita.

Memandangkan feminisme moden menghargai pelbagai cabang feminisme yang mengakui bentuk penindasan yang dihadapi oleh wanita berbeza bergantung kepada identiti dan konteks mereka, choice feminism yang melemahkan konteks pilihan tertentu adalah membingungkan. Kita mahu membina satu solidariti politik, namun kita enggan bersama dalam membantah pilihan yang mengukuhkan lagi penindasan wanita yang berbeza berbanding diri kita sendiri.

Sekiranya penderitaan kita dikaitkan bersama, maka jalan penyelesaian kita juga haruslah sama. Asal usul gerakan feminis tidak pernah bermaksud untuk kebebasan pilihan hanya untuk individu yang terpilih, tetapi untuk kebebasan seluruh jantina sebagai kelas sosial yang terpinggir. Pilihan yang melemahkan pergerakan ini, walaupun boleh dibenarkan, tidak patut diraikan oleh feminis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Get in Touch!

We're fun to talk to. We promise!