• +6012-6268490
  • hey@thegblog.org

Kepastian Dalam Kompromi

Kepastian Dalam Kompromi

thegblogteam No Comment

Oleh Effie Johari

Penterjemah: Azim Allaudin

Mengenalpasti seksualiti diri anda hampir kelihatan seperti sebuah kepentingan. Kebanyakan daripada kita yang merujuk diri sebagai gay, lesbian, atau biseksual telah membina naratif “coming out” agar dapat lebih memahami seksualiti diri sendiri, jika bukan untuk orang lain, ianya bagi diri kita sendiri. Kita mengenali model “coming out” yang tipikal sebagai “proses secara langsung untuk mengenali diri sendiri di mana identiti heteroseksual yang tidak tepat tetapi diterima umum digantikan dengan identiti lesbian atau gay” sebagai sesuatu yang asli dan tepat [1]. Pergelutan yang berpanjangan terhadap keaslian atau kepastian inilah yang dimaksudkan dalam kepentingan untuk “mencari” seksualiti anda.

Saya berpendapat bahawa ianya mudah untuk menceritakan tentang seksualiti yang serupa dengan naratif am yang kita biasa dengar melalui aktivisme “hak asasi gay”. Individu gay dilahirkan begini dan menentukan seksualiti mereka melalui proses pengenalan diri dan mungkin juga melalui eksperimentasi. Realitinya tidaklah semudah itu terutamanya bagi wanita, di mana minat mereka terhadap wanita lain sering diperlekehkan dan ditolak, mereka juga berhadapan dengan jangkaan sosial yang tinggi bahawa wanita perlu bersama lelaki lantaran kebergantungan sosial dan ekonomi terhadap kaum tersebut. Saya pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki pada suatu ketika dahulu tetapi saya tidak begitu mahu berada dalam hubungan tersebut. Saya mendapati bahawa saya sering bertolak-ansur lebih daripada yang sepatutnya. Apabila timbul minat terhadap lelaki pada masa lalu (dan semenjak saya mula menerima bahawa saya meminati kaum wanita, ianya hanya pernah terjadi sebanyak dua kali), saya hanya tertarik dengan idea untuk menjalinkan hubungan dengan kaum lelaki, untuk merasakan kemesraan berpacaran seperti yang dilihat dalam filem dan mengadakan hubungan seks seperti dalam filem-filem lucah. Saya berasa dipaksa secara luaran dan dalaman terhadap tarikan tersebut, bahawa saya mengenali lelaki yang sedikit menarik berbanding yang lain dan berharap bahawa mereka boleh “dibetulkan” oleh saya, membuatkan saya terkeliru terhadap keinginan untuk sebuah persahabatan sebagai suatu tarikan disebabkan oleh tekanan sosial. Terdapat (dan akan selalu ada) suara yang berterusan membisikkan kepada saya bahawa lebih mudah jika saya menyerah diri sahaja. Tetapi saya mendapati pegangan politik saya mula bertukar untuk memberi ruang kepada keletihan daripada kompromi ini.

Ianya mengambil masa bertahun-tahun untuk saya sedar yang saya tidak lagi mahu bertolak ansur. Saya hanya sedar selepas bertahun-tahun mengalami kesukaran dengan seksualiti saya, setelah bertahun berpacaran dengan lelaki walaupun saya tidak pernah mempunyai perasaan yang kuat terhadap mereka, tidak seperti yang saya rasakan semasa bersama wanita. Saya tidak lagi mahu berkawan dengan lelaki yang suka bercakap tentang wanita di belakang (kadangkala secara berhadapan) seolah-olah kita hanyalah sekadar objek untuk dimenangi. Saya tidak lagi mahu menjelaskan kepada kawan-kawan lelaki saya mengapa ianya salah untuk memikirkan yang wanita ini lemah. Saya tidak mahu menjadi bahan umpatan, atau tidak dibenarkan bersuara, atau penampilan saya diperkotak-katikkan. Saya tidak mahu menarik perhatian lelaki, diganggu, atau ditenung. Paling penting, saya tidak mahu berasa terpaksa untuk berhubungan dengan lelaki atau mempunyai perasaan terhadap mereka. Sesetengah kompromi ini tidak dapat dielakkan, tetapi saya sedar ianya adalah dibawah kawalan saya untuk menetapkan had terhadap emosi dan tenaga yang saya laburkan dalam persahabatan atau perhubungan dengan lelaki dengan mengasingkan mereka daripada kumpulan sosial saya. Dalam tempoh interim sebelum saya membuat keputusan ini, saya memaksa diri saya untuk berada dalam kalangan lelaki untuk menyelesakan diri dengan mereka. Menari dengan mereka dan malah, membiarkan sahaja mereka menyentuh saya. Apabila saya mula berasa selesa untuk mengakui dan memanggil diri saya lesbian dan memberitahu orang lain, sesetengah lelaki ini sekadar membalas dengan lucah “oh, itu mengghairahkan”.

Lesbian bukanlah suatu gambaran yang negatif. Ianya adalah pengiktirafan terhadap seksualiti yang wujud secara keseluruhannya di luar ketidakadilan patriarki, tentangan secara terang-terangan terhadap fakta bahawa lelaki telah mencuba untuk mengubah dan mengeksploitasi identiti seksual ini. Perempuan menjadi lesbian kerana mereka cinta akan wanita dan bukan lelaki, dan ini adalah suatu fakta yang diketahui umum. Lesbian merupakan satu keraian terhadap kewujudan sesuatu yang tidak diterima dalam budaya masyarakat yang konvensional. Saya berasa dilindungi dalam kumpulan yang eksklusif ini, kerana saya berasa selamat berada dalam kalangan wanita lain dan dalam menyayangi wanita lain. Jika dunia ini tidak wujud untuk kami – wanita yang terikat dengan lelaki, wanita yang bukan untuk lelaki – maka kami akan mendapatkan kepastian sendiri, membina rangkaian kami sendiri berkaitan cinta dan perpaduan. Apabila saya tertarik dengan wanita, saya akan sentiasa berasa bangga terhadap mereka. Saya begitu bangga dengan mereka dan mengagumi pencapaian mereka, kebolehan mereka, dan diri mereka dan bagaimana mereka membuatkan saya berasa difahami tentang kesukaran dan kewujudan saya.

Pada awal tahun ini, saya percaya saya akhirnya mencapai suatu tahap kepastian selepas bertahun-tahun berhempas-pulas mengenalpasti identiti seksual saya. Hal ini kerana saya bukanlah lesbian sejak awal disebabkan saya sering tidak pasti atau yakin. Bagi saya, menjadi lesbian adalah suatu proses penyesuaian dengan realiti kejam yag dihadapi sebagai seorang wanita. Saya berasa seperti akhirnya saya telah menjumpai rumah, perlindungan bagi perkataan “lesbian”. Saya telah berusaha mencari rangkaian sokongan dan solidariti, dan menjumpai tempat saya dalam ruang khas untuk semua wanita, di mana saya berasa selesa menyuarakan pandangan saya sebagai seseorang yang berbeza yang memenuhi ideal sebagai individu feminis lesbian.

Ramai yang tidak faham kenapa sesorang mahu menolak lelaki dalam hidup mereka manakala ramai juga yang merasakan ianya amalan yang mustahil. Bagi saya, ianya bukanlah kekurangan gaya hidup berbanding komitmen terhadap satu perspektif yang tertentu. Saya mendapati bahawa lelaki sering membuatkan saya berasa penat secara emosi. Oleh itu, saya menyesuaikan interaksi saya dan kumpulan sosial saya dengan tidak melibatkan mereka dan mengutamakan wanita. Lelaki, sebagai satu kelas, adalah golongan yang ganas. Mungkin ianya sesuatu yang memeranjatkan bagi mereka yang tidak pernah didedahkan dengan pemikiran feminis, atau mereka yang memperjuangkan hak kesaksamaan liberal dan menganggap manusia-manusia yang tidak sependapat sebagai radikal. Lelaki ini kejam, jika tidak secara seksual, secara psikologi, jika bukan secara fizikal, maka secara ekonomi. Terdapat ramai golongan feminis yang telah mengecualikan sesetengah golongan lelaki dalam hidup mereka kerana beranggapan lelaki-lelaki ini berbeza atau tidak mempunyai niat, menyebarkan idea “golongan patriarki yang baik”  yang diwakili oleh ayah, guru-guru, atau kawan-kawan mereka. Tapi bagi sesetengah daripada kami tidak mencari untuk menebus kesalahan mereka. Sesetengah daripada kami hidup dibawah beban kekejaman ini sepanjang hidup dan hanya mahukan keamanan dan dibiarkan bersendirian. Sebagai seseorang yang berbeza, saya hanya mahukan empati daripada yang lain untuk memahami kedudukan saya.

Golongan lesbian berhadapan dengan satu bentuk kekejaman yang berbeza. Ianya berasal daripada kebencian terhadap wanita, tetapi dengan manifestasi yang berlainan. Homophobia, di mana isu lesbian dibabitkan, bukan sekadar ketakutan terhadap seksualiti wanita tetapi juga kehilangan kawalan oleh kaum lelaki terhadap seksualiti tersebut [2]. Seksualiti wanita sepatutnya hanyalah untuk lelaki, untuk keseronokan lelaki, kawalan dan kegunaan mereka. Anda hanya perlu menonton filem lucah (di mana bukan suatu kebetulan apabila salah satu kategori yang amat popular adalah “lesbian” untuk tontonan golongan lelaki), politik seksual dan sikap pilih kasih yang golongan feminis sedang menentang. Ideologi lesbian menentang norma seksual ini: cinta dan seksualiti bukan untuk memuaskan kaum lelaki. Pembabitan dengan lelaki membuka ruang kepada dunia yang penuh dengan kelemahan, tidak dapat saya nafikan, tetapi ‘lesbianism‘ adalah suatu kewujudan yang berbeza.

Ia merupakan suatu kewujudan yang dipengaruhi oleh rasa terpinggir, kesedaran bahawa dunia ini bukan untuk kita. Terdapat satu kesakitan apabila dipisahkan dari dunia yang rakan-rakan, keluarga dan kenalan kamu jalani. Saya tidak mampu menyatakan pendapat feminis saya sebagai cerminan hubungan saya dengan lelaki, seperti apa yang wanita lain lakukan apabila mereka melibatkan diri dalam projek pemerkasaan. Saya tidak mahukan sebarang hubungan dengan lelaki. Ini merupakan dasar keengganan saya untuk bertolak ansur: saya mempunyai banyak emosi dalam diri saya, saya mempunyai tenaga yang tiada batasan, dan saya tidak mampu untuk berikan sedikit pun pertimbangan terhadap kaum lelaki, bukannya seperti saya mahu pun. Sebagai wanita, kewujudan kami seolah-olah ditentukan melalui hubungan kami dengan lelaki. Ianya realiti sebenar di mana masyarakat disusun berdasarkan heteroseksualiti. Seperti yang ditekankan oleh Monique Wittig, lesbian bukanlah wanita, disebabkan wanita hanya meraih makna dalam sistem pemikiran dan perintah heteroseksual sebagai kontra atau pelengkap kepada ‘lelaki’ [3].

Pengasingan adalah suatu ideologi yang hampir mustahil untuk diamalkan. Saya tidak boleh memilih untuk langsung tidak berinteraksi dengan lelaki, dan saya tidak boleh menarik diri daripada keleluasaan heteroseksualiti. Sebagai seorang lesbian dan berbeza, saya sering mempersoalkan diri sendiri lantas menjadikan kepastian dan keyakinan ini hampir mustahil. Dalam kepastian, kita mendapat pengesahan terhadap identiti, pengalaman, komuniti dan ideologi kita. Bagi kebanyakan orang, kepastian telah menjadi pengalaman mereka. Ianya tidak wajar untuk memberitahu golongan lesbian bahawa seksualiti mereka tidak berpenghujung – cadangan ini telah dialami oleh saya dalam bentuk kekejaman. Pergelutan yang dihadapi oleh golongan lesbian dalam mencapai sepakat dalam menjadi seorang wanita dalam sebuah hubungan yang mengecualikan lelaki sudah cukup sukar tanpa perlu mengetengahkan idea yang agak popular bahawa semua orang secara lahiriahnya adalah biseksual, yang individu gay hanya memendam naluri biseksual mereka. Kepastian adalah penting untuk ramai orang: ianya merapatkan komuniti, ianya merupakan dasar di mana banyak usaha solidariti dilakukan. Tetapi bagi saya, saya perlu berhadapan dengan persoalan tentang bagaimana dan di mana untuk mendapatkan kompromi, di celahan dan ceruk mana. Saya terlibat dalam pencarian seksualiti yang berterusan seperti geografi, rabung dan lembah, nuansanya, di sebalik kemampuan untuk menginterpretasi pengalaman saya sebagai satu naratif linear dan menyimpulkannya dengan kepastian.

Seksualiti bukanlah untuk golongan wanita atau ekspresi individu yang subjektif tetapi satu institusi sosial yang kejam [4]. Saya selalu mencari arah dalam ruang kekejaman di mana tiada kepastian yang mudah, tiada jalan mudah untuk keluar, hanya pergelutan yang berpanjangan untuk mencapai sepakat antara perasaan seksualiti yang subjektif dengan realiti. Dalam penglibatan dengan pergelutan ini, hanya ada satu sahaja yang sentiasa memastikan saya berpijak dibumi nyata: wanita yang mencintai wanita. Kebaharuan ini adalah sesuatu yang berani. Kebanggaan dan keseganannya. Saya menyanjungi wanita dan saya berasa gembira dan puas mengetahui bahawa saya mencintai wanita walaupun realiti meminta saya untuk bertolak ansur.

Rujukan

[1] Rust, P. (1996) Sexual identity and bisexual identities: The struggle for self-description in a changing sexual landscape.

[2] Birrell, S. & Theberge, N. (1994) Ideological control of women in sport.

[3] Wittig, M. (1978) The straight mind.

[4] Wittig, M. (1981) One is not born a woman.

Effie adalah pelajar berusia 20-an dalam jurusan Ekonomi dan Pengajian Wanita. Beliau mempunyai pengalaman bekerja bersama kanak-kanak dalam pelbagai program sukarelawan dan terlibat dalam proses tunjuk ajar. Beliau sering menulis atau “tweet” berkaitan pengalaman sebagai wanita/lesbian/muslim yang tinggal di Malaysia. Minat beliau termasuklah dalam bidang Sejarah Bahan, radikal, dan pos-struktur feminis: pendidikan dan perkembangan kanak-kanak, fandom dan budaya sukan: muzik dan pementasan, dan sebagainya.

** Baca versi Bahasa Inggeris artikel di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Get in Touch!

We're fun to talk to. We promise!