• +6012-6268490
  • hey@thegblog.org

Perkataan ‘Tidak’ Tersekat di Kerongkong

Perkataan ‘Tidak’ Tersekat di Kerongkong

thegblogteam No Comment

Penulis: Allison Jong

Penterjemah: Syahirah Wahed

Aku diajar bahawa penderaan wujud di antara kesan fizikal yang luar biasa di badan seseorang. Kesan yang tidak dirancang. Bukan secara semula jadi. Dipaksa. Hodoh. Aku mempelajarinya dari filem-filem, iklan berunsurkan sokongan terhadap keganasan rumah tangga dan juga artikel-artikel di ‘Facebook’. Aku selalu percaya bahawa badan seseorang itu sudah dilukis seperti buruj yang menerangi langit malam.  Masa berlalu, dan di antara tanda lahir dan tahi lalat, beberapa bintang baru akan muncul. Seperti parut cacar air di siku kiri ketika kau berusia 7 tahun atau tatu pertama ketika menginjak usia 18 tahun. Walaubagaimanapun, dalam lingkungan sempadan itu aku sedari bukan semua  adalah bintang. Terdapat tanda yang menganggu pembentukan langit malam kamu, seperti letupan pelbagai warna pada kulit. Menyala dalam warna merah, ungu, biru dan hijau.

Bagaimanapun, aku tidak tahu bahawa di antara garisan itu terdapat penderaan yang tidak dapat dibezakan. Kadang-kadang penderaan meninggalkan luka yang jelas, tetapi sesetengahnya adalah sangat kabur sehinggakan kamu hanya menyedarinya dalam mimpi tidur malam yang menghantui kamu dengan ingatan itu. Pada pagi seterusnya, kamu bangun dari tidur dan menyedari ianya bukan sekadar mimpi.

Aku diajar oleh bapaku, yang aku wujud di antara sempadan itu, juga oleh kekasih cinta monyet dan beberapa hubungan yang agak serius.

Aku membesar dalam keluarga berbangsa Cina yang agak konservatif. Walaupun ibuku adalah seorang Kadazan dari Sabah, namun ayah aku menentukan semuanya dari segi kaedah membesarkan aku dan kedua-dua abangku. Aku membesar dengan pelbagai bahasa namun bahasa yang jelas diungkapkan di rumah adalah bahasa kesakitan yang aku dapat jika aku melanggar peraturan ketat bapaku, dan diikuti dengan suara lembut ibuku menenangkan aku selepas dimarahi. Tingkah laku aku banyak dikawal. Cara aku berpakaian, bercakap dan juga pilihan yang aku buat. Aku menjadi kerdil, aku banyak bersendirian dan bercakap hanya bila perlu. Aku sentiasa berhati-hati ketika bersuara kerana takut akan dipukul oleh bapa jika aku tersalah cakap. Perasaan kerdil semakin menjadi-jadi kerana aku ialah seorang yang ganjil di kelas. Aku dibuli di sekolah jenis Cina kerana aku tidak boleh berbahasa Mandarin dengan fasih dan aku dipandang ‘pelik’. Mempunyai abang dalam keluarga tradisional Cina juga tidak membantu. Aku sering dihukum kerana mereka tahu mereka boleh menyalahkan aku untuk setiap pertengkaran. Pipi kiri aku sudah menjadi kebas, namun kebimbangan sebelum tangannya hinggap ke muka tetap terasa di antara rahang dan paru-paru. Segar, dan ia sentiasa terasa.

Ketika aku di sekolah menengah, aku menjadi sangat tertekan.  Aku juga menjadi seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan. Keputusan gred sekolah aku sangat baik. Aku berasa puas setiap kali aku dapat menjawab soalan dengan betul apabila ditanya oleh guru. Malah sehingga kini aku masih berasa begitu. Aku merupakan anak murid kesayangan guru dan rakan-rakan sekolah tidak suka akan aku. Bapaku tidak memandang aku ketika makan malam selepas kembali dari sekolah, jadi cara untuk membuat beliau sayangkan aku adalah dengan mendapat A dan anugerah kecemerlangan. Namun, yang masih aku ingat adalah ungkapan “Anakku, kau tidak boleh buat apa-apa dengan betul, kau hanya pandai dalam pelajaran. Itu sahaja.”

Aku berusia 14 tahun ketika bertemu dengan seorang budak lelaki. Akhirnya aku dapat perhatian dari lelaki yang aku dambakan. Dia mempunyai mata berwarna coklat yang paling cantik dan bulu mata paling panjang pernahku lihat. Seorang pelajar yang pintar dalam kelas dan juga atlet bola sepak untuk sekolah. Secara semula jadinya, aku berasa sangat teruja apabila lelaki sepertinya memberi perhatian kepada orang sepertiku. Kami sering bercakap di telefon dan dia sentiasa memanggilku dengan gelaran ‘cantik’, ‘berbaloi untuk diperolehi’ dan ‘bijak’. Aku terpikat. Aku belajar di sekolah mubaligh perempuan yang terletak di seberang sekolahnya yang merupakan sekolah mubaligh untuk lelaki. Perhatian dari lelaki memang didamba oleh pelajar perempuan. Selama berbulan-bulan kami berjumpa sekejap dan bersembang sebelum sesi kelas bermula di kafe di hadapan sekolah kami. Kami fikir “mungkin kami boleh lakukan ini”. Aku tidak dapat menafikan tarikan aku terhadapnya. Hormon yang memberontak juga turut memainkan peranan.

Dua tahun pertama hubungan ini merupakan satu perjalanan untuk mengenali antara satu sama lain. Walaupun aku masih muda, aku berani mengatakan ianya adalah satu ‘hubungan’. Mungkin aku egoistic kerana berfikir aku mempunyai kemampuan memahami cinta dan kasih sayang seperti orang dewasa. Dia akan memanjakan aku dengan perhatian, pujian dan sokongan moral setiap kali aku bergaduh dengan bapa aku. Pengaruhnya terhadap aku kebanyakkannya adalah positif dan menjadikan aku rajin belajar. Kami menganggap sekolah sebagai perkara positif. Ketika kebanyakan pelajar lain merungut tentang jumlah kerja sekolah yang banyak dan juga peperiksaan, kami pula menikmatinya dengan membelek-belek nota dan menyiapkan kerja sekolah selepas kelas pada waktu makan tengahari sebelum aktiviti kurikulum bermula.

Di tengah-tengah perbualan berkenaan pelajaran dan gelak ketawa yang dikongsi bersama, tidak pernah terlintas di fikiran aku tentang apa yang tidak kena. Pertama ialah cara aku berpakaian. Aku hanya berusia 16 tahun ketika itu dan seperti budak perempuan yang lain aku mula bereksperimen dengan baju dan fesyen. Dia akan memberi komen terlebih dahulu tapi tidak dalam keadaan terlalu marah. Aku berfikir kepada diri sendiri, ah aku nak pakai apa yang aku nak, tak kan dia marah sangat? Ia hanya pakaian.Aku silap.

Apabila budak lelaki lain mula memberi perhatian kepadaku, dia memberitahu aku dia tidak mempunyai pilihan lain selain melarang aku dari memakai pakaian berwarna putih kerana ia jarang. Selain itu, dia juga melarangku dari memakai ‘legging’ atau pakaian ketat. Baju tidak berlengan dan seluar pendek juga tidak dibenarkan. Ia menjadi semakin tidak masuk akal sehinggakan dia melarang aku memakai kanta sentuh dan memaksa aku memakai cermin mata dengan alasan ‘budak lelaki lain akan nampak betapa cantiknya kau.’ Aku bingung. Aku mahu berhias untukya jadi aku menjadi Allison versi yang dimahunya. Dia mula membuang bahagian diri aku yang dia tidak suka. Aku pakai apa yang dia suka dan dia akan memuji usaha aku menutup bahagian sepatutnya.

Aku berasa terkongkong tetapi pada masa yang sama aku tidak sedar bahawa ini adalah peraturan yang ditetapkan olehnya kepadaku. Aku tidak tahu bahawa pada masa depan, hubungan ini memberi kesan buruk kepada caraku melihat diri sendiri. Keyakinan dan kebebasan aku dalam mengekspresikan diri. Bapa aku telah memupuk satu persekitaran di mana setiap tindakan aku sering diperhatikan sehingga aku tidak lagi memberi perhatian kepada layanan yang aku terima dari kekasihku. Aku gagal menyedari persamaan antara dia dan bapaku. Mengawal, menguasai dan pemarah. Hanya satu perbezaan adalah dia akan berpura-pura tiada apa berlaku selepas memarahi aku berkenaan pilihan fesyen tetapi aku masih dianggap tidak wujud oleh bapaku setiap kali aku kembali dari sekolah.

Ketika aku berusia 16 tahun, kami mula bereksperimentasi secara seksual, namun tidak pernah melepasi ‘third base’. Selama beberapa tahun aku bergelut untuk memahami keadaan sebenar. Penderaan. Beberapa tahun lepas, aku masih bangun dari tidur,  berpeluh dari mimpi buruk yang terasa seperti sebenar. Kita beranggapan seorang remaja lelaki tidak akan mampu untuk mendera apatah lagi memahaminya. Dia akan mengurung aku dalam bilik air sepanjang masa dan memaksa aku menanggalkan pakaian sehingga tiada seurat benang di badanku.

Dia mengajar aku bahawa cara untuk mendapatkan cintanya adalah dengan melutut di lantai memuaskan nafsunya. Pada mulanya ia seronok namun selepas beberapa kali ia tidak berasa seronok lagi. Dia akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan masa bersendirian bersama aku. Pergi menonton wayang selepas sekolah bermaksud aku harus melaksanakan ‘tugasku’ sebagai kekasihnya. Dia akan membeli tempat duduk di bahagian belakang di mana ia gelap dan sukar dilihat. Dia akan ‘bermain’ dengan aku ketika filem ditayangkan. Kadang kala aku hanya membatukan diri sambil memandang skrin ketika tangannya menembusi ke dalamku sehingga kulitku terkupas di bawah kukunya dan darahku di jari-jemarinya.

Hubungan ini berlangsung selama empat tahun dan aku sentiasa cuba memberi alasan setiap kali aku ingin menamatkan hubungan ini. Aku telah membenarkan penderaan ini untuk berterusan, secara fizikal dan mental, memikirkan ia merupakan perhatian darinya dan dengan bodohnya percaya ia adalah cinta. Selama hubungan empat tahun ini, aku kehilangan berat badan secara mendadak, pakaian yang biasa dipakai seakan tergantung di tulang bahuku. Aku tidak dapat menggembirakan dia lagi. Tidak kira betapa rendah aku tunduk atau sebanyak mana tekakku menelan muatannya, ia tidak pernah cukup.

Sebagai remaja, aku tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengannya.  Tetapi apa yang remaja mampu lakukan? Aku tidak diberitahu atau diajar tentang penderaan seksual. Aku tidak diajar bagaimana untuk berdepan dengan trauma seksual. Bagaimana seorang remaja membicarakan tentang penderaan apabila maksud penderaan itu tidak difahami dengan sebetulnya. Aku terlalu malu untuk menceritakan perkara ini kepada rakan-rakanku. Ibu bapa aku mungkin tidak akan mengaku aku anaknya. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menghadapinya sendiri daripada meminta bantuan orang lain. Di samping pipiku yang semakin cengkung, aku mendapat kepuasan dengan mencederakan diriku.

Pada mulanya ia memang menyakitkan namun lama kelamaan aku semakin ketagih. Aku tidak pernah berani mencederakan diriku dengan luka yang terlalu dalam, hanya cukup untuk memadamkan kesakitan di fikiran ku. Parut-parut akan sentiasa pulih namun tidak akan hilang sepenuhnya. Pernah aku bangun pada tengah malam selepas mencederakan diri dan aku membuat keputusan  bahawa ia tidak seronok lagi. Akhirnya kami memutuskan hubungan dengan cara tidak baik.

Dalam usaha merawat sakit yang tidak dapat dielakkan, aku mula bergaul dengan seramai lelaki yang boleh dan memancing mereka dengan kisah sedih aku dan lipstik merah di bibirku. Aku bakal menduduki STPM ketika bertemu dengan seorang pelajar lelaki di sekolah. Dia sangat baik dan memandu kereta Honda zaman 90-an ke sekolah. Seorang perokok tegar yang ponteng sekolah untuk menghisap dadah di ruang parkir kereta gereja di seberang sekolah. Dia baik bagi seorang lelaki nakal. Kadang kala dia akan datang ke rumah untuk menonton filem dan kami akan bercakap tentang perkara tidak penting dan dia membuatkan aku berasa istimewa. Dia menelefonku setiap malam sebelum tidur dan mencairkan hatiku dengan pelbagai cara.

Tanpa dapat dielakkan, kami mula bermain-main. Dia selalu menyentuhku di tempat tidak sepatutnya di tempat awam. Ada kalanya, aku menikmati kepuasannya kerana adrenaline perasaan takut ditangkap, tetapi kadang kala aku tidak suka. Aku berasa keliru namun tidak mampu bertindak. Selepas beberapa bulan bermain-main di dalam keretanya, dia memaksaku untuk menyentuhnya walaupun aku tidak mahu dan secara jujurnya aku masih lagi teringat peristiwa itu dengan jelas di saat aku menulis artikel ini. Namun aku mahu anda tahu bahawa kadang-kadang lelaki baik, sebenarnya bukanlah baik, juga lelaki nakal yang berimej baik. Ini kerana lelaki nakal berimej baik akan membuatkan kamu berasa bagus dengan diri sendiri.

Pada satu petang aku terus ke bilik air sejurus pulang dan membuka pili air sambil menangis dan aku mencuci kasar badan aku dengan jari jemariku. Di beberapa bahagian tanganku, kulitku mula tertanggal dan darah mengalir. Aku duduk di lantai sambil dihantui dengan kelakuanku selama ini dan aku tidak dapat memadamnya dari fikiran. Awal tengahari itu, dia membawaku ke pawagam yang sama bekas kekasih selalu membawaku. Ketika filem ditayangkan, dia membuka zip seluarnya. Dia menarik rambutku dengan kasar sehinggakan kulit kepalaku berasa sakit. Aku tercekik ketika dia ghairah menolak kerongkongku untuk menelan ereksinya ketika bunyi bising filem. Aku menolak pada mulanya namun aku sedar perkataan ‘tidak’ sudah lama tersekat di kerongkongku.

Di rumah, hubungan aku dengan ayah semakin teruk. Ketika cuti sekolah pada tahun itu, aktiviti mencederakan diriku sendiri berulang selepas enam bulan aku tidak melakukannya. Aku membuat keputusan untuk bekerja separuh masa untuk melupakan perkara yang mengganggu fikiranku. Ibuku menjalani pembedahan untuk membuang ‘cyst’ yang terletak berhampiran saraf tunjang yang membahayakan nyawanya, jadi ibuku tidak mampu menghantarku ke kerja selepas pembedahan. Aku berkeras ingin teruskan bekerja dan aku akan mencari jalan untuk pergi ke kerja, bukan kerana aku tidak mengambil berat tentang ibu cuma aku tahu keadaan diriku jika berada di rumah terlalu lama. Kulitku seakan dikoyak dan badanku seperti hilang sedikit demi sedikit jikalau aku berkurung dalam bilik. Aku tidak terkejut apabila ayah menggelarku ‘anak derhaka’ dalam bahasa Mandarin.

Akhirnya, aku berhenti kerja untuk menjaga ibuku. Hari demi hari berlalu, aku semakin selalu mencederakan diri lebih kerap berbanding menghabiskan sekotak rokok sehari. Baju T disimpan di dalam almari, aku hanya memakai baju sejuk dan seluar untuk menutup kehodohan yang menghiasi badanku. Carian nombor satu di sejarah carian Google adalah ‘Bagaimana untuk membunuh diri’ dan senarai lagu dipenuhi dengan Pierce the Veil dan Billie Holiday. Aku fikir aku tidak boleh menggunakan senapang jadi aku tidak boleh menembak diri sendiri. Keadaan siling di rumah juga tidak cukup kukuh untukku menggantung diri. Mencederakan pergelangan tangan akan menjadi terlalu bercelaru dan tidak menjamin kematian.

Sebelum aku mencapai usia 18 tahun, pada 26 Disember 2012 aku menelan pil yang cukup untuk membuatkan aku memuntahkan isi perutku keluar. Malangnya ia tidak cukup untuk membunuhku. Aku terlantar di hospital dengan 6 beg titisan N-acetyl cysteine (NAC) untuk mengeluarkan segala pil dari badanku. Bapaku memarahi aku ketika aku terlantar di katil yang sepatutnya menjadi tempat aku menemui ajalku. Dia memarahi aku dengan mengatakan aku akan memburukkan namanya dan orang sekeliling akan memandangnya sebagai bapa yang teruk. Tetapi tidak sekalipun dia bertanya “Kamu okay?”.

Pada 1 Januari 2013, aku meraikan sambutan hari lahir ku yang ke 18 dengan memakai pakaian yang ibu pakai ketika melahirkan aku. Aku makan kek hari lahirku di dalam bilik yang berbau kesepian dan merasa perasaan bersalah ibu bapaku. Doktor memberitahu aku, “Awak boleh pulang sekarang kerana tiada lagi kesan pil. Tetapi, datang dua kali seminggu kerana kami masih belum selesai memulihkanmu lagi”.

Pada tahun yang sama, aku jumpa penawar untukku. Atau itu yang aku sangkakan. Aku fikir aku masih mempunyai kepercayaan. Mungkin terapi berkesan. Atau itu yang aku sangkakan. Bagaimanapun, aku tidak menafikan betapa aku dimanjakan dengan kemewahan dan hadiah dari luar negara. Dia sangat mengagumkan. Kawan kepada kawan. Tinggi, kacak dan anak kepada keluarga yang sangat kaya dan berpengaruh. Hubungan rapat kami berdasarkan minat kepada muzik dan Star Wars, perbualan panjang tentang nilai seni dalam filem dan juga Laksa Sarawak. 8 bulan berada dalam hubungan yang baik tanpa apa-apa perkara buruk.

Dia tidak pernah bercakap gah tentang kekayaan keluarganya dan tidak pernah menyentuhku walau sekali. Apatah lagi untuk menciumku. Ia merupakan satu permulaan yang baik. Aku hilang dara secara rasminya dengan dia. Untuk pertama kali setelah sekian lama, ia adalah sesuatu yang aku sendiri rela. Ia juga merupakan pengalaman pertama yang terindah. Rakan-rakannya sangat baik terhadap aku dan keluarganya dengan besar hati menerimaku. Ibunya melayan aku seperti anaknya sendiri. Walaupun sering sibuk, beliau tetap meluangkan masa untuk minum teh denganku. Beliau mengajar aku cara bersikap tenang dan kepentingan keanggunan dan tanggapan pertama. Apa lagi yang aku mahukan? Aku meluangkan hujung minggu di kelab golf, menghadiri parti makan malam di Bukit Kiara, makan coklat berjenama Godiva di kondominium indahnya dan makan tengah hari di restoran Magnum. Aku belajar bagaimana menyediakan meja makan, bercakap ketika diajak bercakap dan sering bergaya anggun apabila bersama mereka. Mereka membentuk aku menjadi menantu ideal, seseorang yang mereka bangga memperkenalkan sebagai ahli keluarga. Terlalu sempurna untuk dunia sebenar? Ya memang benar.

Aku tidak tahu bagaimana ia terjadi. Aku cuba untuk tidak mengendahkannya. Aku hanya mahu hidup di dunia sempurna ini lama sedikit. Aku hanya mahukan kebahagiaan. Sangat-sangat terdesak. Namun, dia sangat bagus dengan apa yang dia lakukan. Dia sangat bagus dalam tidak mengendahkan aku. Dia juga sangat bagus ketika menonton Parks dan Rec di komputer ribanya di meja makan, ketika sedang makan masakan yang aku masak tanpa sepatah pun perkataan terima kasih. Aku tidak fikirkan dia ada niat jahat. Dia cuma sudah dibiasakan dengan kemampuan membeli barang mahal dengan wang, benda yang boleh diletak tepi apabila tidak digunakan. Aku dalam kategori itu.

Dia hanya akan mencium dan mencintai aku apabila bernafsu. Walaubagaimanapun, aku hanya ‘disimpan’ di rak bersama barang-barang lain apabila sudah selesai, seperti barang-barang kepunyaannya yang lain. Sekurang-kurangnya aku berasa selamat. Sunyi, tetapi selamat. Ia merupakan satu ”trade-off”. Mewah tetapi tidak wujud secara emosi adalah lebih baik dari nafsu dan penderaan seksual. Walaupun aku berasa sangat sunyi dan tinggal di rumah cantik yang kosong, aku berasa selamat. Atau itu yang aku sangkakan.

Dalam masa setahun setengah bersamanya, dia berubah menjadi seorang yang menakutkan yang tidak kukenal. Dia akan membeitahuku fantasi seksual yang tidak dapat dipenuhinya dan mahu aku menjadi sebahagiannya. Dia menikmati ketidakselesaan aku dan menyangka ia seronok untuk menyumbat botol kaca Coke kedalamku sehingga berdarah kerana menyangka aku yang memintanya untuk berbuat demikian. ‘Tidak’ bermaksud ‘Ya’ kerana tangisanku disangkanya sebagai bunyi mengerang seperti gadis dalam video porno yang sering dia tonton. Khayalan seksual dalam bentuk hukuman yang menyakitkan ditujukan kepadaku supaya aku patuh kepada segala kemahuan dan keperluannya. Ia kerana perempuan yang minta apabila dia berkata ‘Tidak, tolong sayang ia sakit’ kerana ‘dihukum’ adalah seksi. Seksi apabila leherku di tapak tangannya, dipegang erat. Mataku berubah kepada putih dan suaraku bukan milik ku lagi.

‘Mengerang kuat lagi.’

‘Mengerang tinggi lagi.’

‘Aku nak suara kau seperti Reily Reid.’

‘Sini, aku hantarkan klip video lucah tentang bagaimana kau sepatutnya mengerang.’

‘Kau tidak suka? Mestilah kau suka kan. Cakap kau suka.’

‘Sakit? Bagus. Ia memang sepatutnya menyakitkan. Dengar cakap aku.’

‘Tidak, bangun kalau tidak aku akan pukul kau.’

Untuk apa aku dihukum?

Tekak aku hanyalah satu terusan. Aku dinilai berdasarkan berapa rendah aku boleh menunduk. Muka dan dada aku adalah tempat untuk mereka berehat dengan senang hati, menghirup nafas. Kulit aku, satu langit malam kosong dengan bintang baru ketika mereka bersyahwat. Maksud aku, tiada sebarang lebam atau rahang retak. Tiada tumbukan dan aku tidak dipukul di muka, kan? Jadi ini bermaksud dia tidak mendera aku kan? Jika anda bertanyakan aku sekarang ini mana satu ‘dia’? aku tidak tahu jawapannya.

Penderaan bukan hanya dilakukan oleh kekasih mabuk yang menumbuk kau yang meninggalkan kesan di pipi seperti perlawanan tinju apabila dia pulang dalam keadaan mabuk. Ia boleh jadi lelaki lagak hero di mata anda. Atau lelaki bermata coklat yang cantik. Lelaki yang dihujani kemewahan. Lelaki sangat baik, kau tidak terfikir mereka memahami maksud penderaan apabila mereka lakukannya kepada kau. Bilik air yang dikunci dan darah mengalir di antara paha. Ia sesuatu yang tidak boleh dirawat dengan terapi atau Prozac. Apa yang membuatkan aku mampu melaluinya adalah dengan memahami penderaan itu sendiri dan bagaimana untuk meminta tolong. Ianya apabila mengetahui yang aku perlu menamatkan sesuatu hubungan, yang menyakitkanku. Ia berkaitan kepercayaan kepada pendirian aku. Ia mengajar aku dengan maklumat aku perlukan untuk melindungi diri sendiri. Aku tidak lagi menyalahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi. Ia bukan salahku.

** Baca versi Bahasa Inggeris artikel ini di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Get in Touch!

We're fun to talk to. We promise!